Sabtu, 12 Januari 2019 | 1:28am
Presiden Donald Trump kini kelihatan semakin hampir mengumumkan darurat. - Foto Reuters

Trump hampir umum darurat

WASHINGTON: Ejen Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan pengawal trafik udara adalah antara 800,000 pekerja persekutuan yang tidak dibayar gaji selepas penutupan kerajaan Amerika Syarikat berikutan rancangan tembok sempadan kontroversi dengan Mexico.

Susulan itu, Presiden Donald Trump kini kelihatan semakin hampir mengumumkan darurat.

Tuntutan sebanyak AS$5.7 bilion (RM23 bilion) untuk membiaya pembinaan tembok sempadan berubah daripada slogan kempen yang disukai ramai kepada perbalahan politik yang melumpuhkan Washington dan menetapkan keadaan tidak menyenangkan untuk baki dua tahun lagi bagi penggal pertama yang penuh masalah.

Gagal memujuk Democrat memberikan wang kepadanya, Trump enggan menandatangani pembiayaan dana tidak berkaitan kerajaan untuk kakitangan seperti pegawai penguat kuasaan undang-undang dan pekerja muzium di seluruh negara.

Semalam, penutupan kerajaan masuk hari ke-21, menyamai rekod pembekuan dana sebelumnya, dan menjadi hari pertama dalam siri kegagalan membayar gaji kepada sebahagian besar pekerja.

Strategi Trump adalah untuk menggunakan penutupan itu bagi memaksa Kongres memberikan beliau dana membina tembok tetapi Democrat, yang menguasai Dewan Perwakilan, tidak mempunyai bajet, berkata mereka tidak akan membincangkan dana itu sebelum kerajaan berfungsi sepenuhnya.

Keadaan itu tidak memberikan banyak pilihan kepada Trump kecuali menarik balik penutupan atau mengisytiharkan darurat di sempadan Mexico, memberikan kuasa kepadanya untuk mengatasi Kongres dan mengarahkan dana tembok diambil daripada bajet lain.

Trump kelihatan hampir mengambil pilihan kedua, yang akan dicabar di mahkamah dengan segera.

Kelmarin, Trump membawa mesejnya kepada sempadan Texas dan Mexico dan menegaskan sekali lagi beliau ‘mempunyai hak mutlak mengisytiharkan darurat’. — AFP

Berita Harian X