Sabtu, 19 Januari 2019 | 7:51am
SETIAUSAHA Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres. - Foto AFP
SETIAUSAHA Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres. - Foto AFP

Myanmar terus lengah benar Rohingya pulang

NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres semalam mengkritik tindakan ‘terlalu perlahan’ Myanmar dalam usaha membenarkan pelarian Islam Rohingya pulang.

Guterres turut menyifatkan proses yang tidak menunjukkan sebarang perkembangan itu sebagai terlalu mengecewakan.

Lebih daripada 720,000 Rohingya berada di kem pelarian di Bangladesh selepas lari dari utara Rakhine Myanmar susulan kempen ketenteraan pada 2017 yang disifatkan PBB sebagai pembersihan etnik.

Myanmar pada awalnya bersetuju untuk menerima sebahagian daripada pelarian selepas mencapai persetujuan dengan Bangladesh, tetapi PBB bertegas dengan syarat keselamatan etnik Rohingya terjamin.

“Saya berasa sangat kecewa dengan perkembangan berkaitan Myanmar dan penderitaan rakyatnya yang terlalu perlahan,” kata Guterres pada satu sidang akhbar.

“Kami menegaskan di sini bahawa perlu diwujudkan satu syarat supaya mereka bersedia untuk pulang. Perkembangan ini terlalu perlahan,” katanya.

Kerajaan Myanmar bulan ini menangguhkan lawatan yang dirancang oleh Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Pelarian (UNHCR) Filippo Grandi yang dijadual melawat Rakhine.

Etnik Rohingya yang hidup dalam kalangan majoriti Buddha Myanmar dianiaya dan ditindas sejak berdekad lalu serta ditolak hak kewarganegaraan.

Myanmar menafikan semua tuduhan dan menggambarkan operasi tenteranya sebagai kempen untuk menghapuskan pengganas. - AFP

Berita Harian X