Sabtu, 26 Januari 2019 | 8:25am
Nancy Pelosi (tengah) dan anggota Kongres parti Demokrat dari New York, Chuck Schumer (kanan) berjalan keluar dari Capitol Hill, Washington selepas penutupan sementara sebahagian operasi kerajaan diumumkan tamat oleh Trump. Foto Reuters

Trump menyerah kalah akibat desakan, agensi kerajaan beroperasi semula

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bersetuju untuk menamatkan langkah menutup operasi sebahagian pentadbiran kerajaan yang sudah memasuki hari ke-35, semalam.

Trump bersetuju berbuat demikian tanpa menerima peruntukan bagi membina tembok di sempadan, selepas menerima tekanan hebat daripada pelbagai pihak.

Peruntukan bajet yang tertangguh selama tiga minggu itu kemudiannya diluluskan oleh Dewan Senat dan bakal dibentangkan di Dewan Perwakilan.

Pembentangan itu bakal menyaksikan perdebatan dalam kalangan penggubal undang-undang mengenai kaedah mengawal keselamatan di sempadan Amerika Syarikat dan Mexico.

Undian menunjukkan sebahagian besar rakyat negara itu menyalahkan Trump dalam kejadian penutupan operasi pentadbiran yang dianggap paling lama dalam sejarah Amerika Syarikat.

Trump turut mencadangkan jalan penyelesaian terhadap krisis itu, ketika Speaker Dewan Perwakilan, Nancy Pelosi dari parti Demokrat terus bertahan dengan pelbagai desakan selama beberapa minggu.

Bagaimanapun, presiden dari parti Republikan itu berikrar untuk kembali menutup operasi pada 15 Februari ini, sekiranya tidak berpuas hati dengan rundingan mengenai keselamatan sempadan.

Pada masa sama, beliau bakal mengumumkan perintah darurat, jika tidak menerima peruntukan bagi membina tembok terbabit.

Berikutan itu, Dewan Senat yang dikuasai Republikan sebulat suara meluluskan peruntukan bagi menyalurkan dana kepada pelbagai agensi dan ia dijangka diluluskan oleh Dewan Perwakilan yang dikuasai parti Demokratik hari ini. - Reuters

Berita Harian X