Sabtu, 26 Januari 2019 | 8:46am
LAPANGAN terbang La Guardia di New York, mengalami kelewatan penerbangan apabila kawalan trafik udara berhadapan kekurangan staf. - AFP

Ramai staf cuti sakit, penerbangan keluar masuk tertangguh

NEW YORK: Lapangan terbang La Guardia di New York, mengalami kelewatan penerbangan semalam apabila kawalan trafik udara berhadapan kekurangan staf berikutan penutupan kerajaan, menyebabkan ahli politik diberi tekanan menamatkan keadaan itu.

Laman web Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) berkata, penerbangan yang tiba ditangguhkan secara purata hampir 1.5 jam, dan pelepasan juga terjejas.

Lapangan terbang Newark, New Jersey dan Philadelphia juga berhadapan masalah sama.

Jurucakap FAA berkata, kelewatan itu disebabkan peningkatan dalam bilangan pekerja yang mengambil cuti sakit.

“Kami mengurangkan kesan itu dengan menambah kakitangan, menentukan semula haluan trafik dan menambah ruang antara pesawat apabila diperlukan.

“Ia cuma memberi kesan minimum kepada keberkesanan tetapi mengekalkan tahap keselamatan yang konsisten dalam sistem ruang udara negara,” kata jurucakap.

Lapangan terbang ketiga terbesar di wilayah itu, LaGuardia mengendalikan banyak penerbangan domestik.

Kira-kira 158 penerbangan keluar dan 154 penerbangan masuk berhadapan kelewatan, hampir satu perempat daripada setiap jenis penerbangan tetapi cuma sedikit yang dibatalkan. — AFP

Berita Harian X