Sabtu, 26 Januari 2019 | 9:11am
CURTIS Allen, Gavin Wright dan Patrick Eugene Stein. - Reuters
CURTIS Allen, Gavin Wright dan Patrick Eugene Stein. - Reuters

Pengganas kulit putih dipenjara rancang serang pendatang, masjid

WICHITA: Hakim persekutuan menjatuhi hukuman penjara 25, 26 dan 30 tahun ke atas tiga pelampau kulit putih semalam kerana merancang mengebom kompleks pangsapuri di Kansas yang menempatkan ramai pendatang Somalia dan masjid pada 2016.

Hakim Eric Melgren di Wichita, Kansas, mengenakan hukuman 25 tahun penjara ke atas Curtis Allen dan Gavin Wright dana 30 tahun terhadap Patrick Stein atas tuduhan bersubahat menggunakan ‘senjata pemusnah besar-besaran’.

Ketiga-tiga mereka juga dijatuhi hukuman 10 tahun penjara kerana bersubahat melanggar hak sivil kepada bakal mangsa.

Hukuman kedua-dua tuduhan berjalan serentak.

Ketiga-tiga lelaki itu, yang digambarkan pendakwa adalah anggota kumpulan pelampau kulit putih berhaluan kanan, didapati bersalah April lalu.

Selain itu, Wright juga dijatuhi hukuman setahun penjara kerana menipu Biro Siasatan Persekutuan.

“Saya harap hukuman ini akan menghantar mesej bahawa AS adalah tempat yang melindungi semua budaya dan agama,” kata Peguam Negara Kansas, Stephen McAllister, kepada sidang akhbar.

Mereka merancang meletupkan kenderaan dipenuhi bahan letupan di empat penjuru masjid dan kompleks perumahan di Garden City, bandar dengan 27,000 penduduk di barat daya Kansas, mensasarkan untuk meruntuhkan bangunan dan membunuh penghuninya, kata pendakwa.

Siasatan dilakukan selama beberapa bulan apabila mereka mula mengumpulkan senjata dan bahan letupan sebagai persediaan menyerang bangunan pangsapuri yang menempatkan 120 pendatang Somalia. — Reuters

Berita Harian X