Jumaat, 1 Februari 2019 | 7:46pm
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. Foto Reuters

Rundingan 'tembok' hanya buang masa: Trump

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menyifatkan proses rundingan dengan anggota Kongres mengenai cadangan membina tembok sempadan di Mexico hanya membuang masa.

Justeru, Trump merancang untuk mengumumkan perintah darurat, bagi memastikan cadangan itu menjadi kenyataan.

“Saya fikir apa yang Nancy Pelosi sudah lakukan boleh mengancam negara kita dan sesungguhnya saya sudah merancang segalanya dengan baik,” kata Trump dalam satu temubual dengan The New York Times ketika mengulas mengenai Speaker Dewan Perwakilan itu.

Rundingan itu dijadualkan tamat dalam tempoh dua minggu dan sebelum itu, Trump mengeluarkan amaran, sekiranya ia tidak berakhir dengan peruntukan bagi membina tembok di sempadan Mexico, beliau mungkin memaksa penutupan operasi kerajaan berlaku sekali lagi.

Terdahulu, penutupan pertama operasi selama 35 hari hanya tamat selepas rundingan diadakan dengan anggota Parti Demokrat yang diketuai oleh Pelosi.

Namun, dalam temubual dengan akhbar New York Times itu, Trump tidak menyentuh langsung mengenai penutupan semula operasi pentadbiran kerajaan.

Bagaimanapun, Trump bercadang untuk mengisytiharkan perintah darurat di kawasan sempadan, supaya beliau boleh menggunakan dana ketenteraan untuk membina tembok berkenaan.

“Saya mempunyai hubungan baik dengan beliau (Pelosi), tetapi saya fikir ia tidak lagi berlaku (hubungan baik).

“Saya fikir beliau melakukan kerosakan luar biasa kepada negara.

“Jika beliau tidak meluluskan pembinaan tembok itu, apa yang akan dilakukan selepas ini hanyalah membazirkan segala masa, tenaga dan wang, kerana tembok itu adalah apa yang sangat kita perlukan,” katanya ketika mengulas mengenai Pelosi. - AFP

Berita Harian X