Selasa, 5 Februari 2019 | 12:34pm
Domineque Ray. - Foto AFP
Domineque Ray. - Foto AFP

Permintaan terakhir banduan Alabama ditolak

WASHINGTON: Seorang banduan Islam yang menunggu hukuman mati di Alabama ‘bergelut’ dengan waktu dengan harapan agar permintaan terakhirnya untuk mendapatkan seorang imam menemani perjalanan terakhirnya di bilik hukuman, ditunaikan.

Domineque Ray, 42, dijadualkan menjalani hukuman suntikan maut, hampir 20 tahun selepas dia dijatuhi hukuman mati kerana kesalahan merogol dan membunuh remaja berusia 15 tahun di Selma, pada 1995.

Ray yang juga disabitkan kesalahan melakukan dua pembunuhan membabitkan dua orang remaja lelaki setahun sebelumnya, sudah memeluk Islam sejak dia ditahan.

Menurut peguamnya, permintaan anak guamnya itu adalah sesuatu yang amat penting dalam hidupnya, memandangkan jadual hukuman semakin dekat, Ray memohon pihak berkuasa penjara Alabama agar memenuhi permintaan terakhirnya.

Bagaimanapun, kerajaan negeri berpandangan tindakan itu melanggar protokol pelaksanaan hukuman kerana membenarkan banduan ditemani imam pilihan mereka sehingga di pintu bilik, bukan sehingga ke dalam bilik.

Undang-undang Alabama membenarkan pembimbing agama hadir ketika hukuman dijalankan tetapi, individu itu mestilah sebahagian daripada pasukan pelaksana hukuman terbabit.

Ray memfailkan permohonan untuk melaksanakan permintaan terakhir itu, tetapi pada Jumaat lalu, hakim mahkamah persekutuan menolak permohonannya.

“Kerajaan Alabama, tidak membenarkan perubahan walaupun sedikit terhadap gangguan pelaksanaan hukuman. Penasihat kerohanian yang dikemukakan Ray tidak terlatih, tiada pengalaman dan berada di luar kawalan negeri,” kata Hakim Keith Watkins dalam keputusannya. - AFP

Berita Harian X