Khamis, 7 Februari 2019 | 8:07am
DOMINEQUE Ray. - Foto AFP
DOMINEQUE Ray. - Foto AFP

Banduan Islam berjaya rayu tangguh hukuman mati

WASHINGTON: Banduan akhir Islam berjaya dalam rayuan menangguhkan hukuman mati ke atasnya semalam, apabila mahkamah persekutuan mendapati hak beliau dilanggar kerana negeri Alabama enggan membenarkan imam mengiringi beliau ke bilik hukuman.

Mahkamah rayuan persekutuan, beribu pejabat di Atlanta, memberikan membenarkan penangguhan hukuman ke atas Domineque Ray, 42, yang dijadualkan dihukum mati hari ini kerana merogol dan membunuh remaja perempuan berusia 15 tahun pada 1995.

“Masalah Perlembagaan pusat di sini adalah negeri selalu meletakkan mubaligh Kristian dalam bilik hukuman untuk memenuhi keperluan banduan Kristian, tetapi enggan memberikan faedah sama kepada banduan Islam atau tahanan bukan Kristian lain,” kata hakim dalam perintah.

Pindaan Pertama Perlembagaan AS melarang pihak berkuasa awam menyebelahi satu agama sahaja atau menghalang kebebasan mengamalkan kepercayaan masing-masing.

Ketika tarikh hukuman semakin dekat, Ray, yang memeluk Islam ketika dalam penjara, menuntut hak untuk diiringi imam ke bilik hukuman.

Negeri di selatan AS itu membenarkan pegawai agama bergaji berada dalam bilik hukuman tetapi cuma membolehkan tokoh agama biasa mengiringi banduan akhir ke pintu sahaja.

Peguam Ray memfailkan cabaran kepada arahan itu minggu lalu, tetapi ditolak mahkamah rendah, yang menetapkan Alabama tidak boleh membenarkan ‘risiko timbul dengan membenarkan seorang lagi tokoh agama berada dalam bilik hukuman’.

Namun mahkamah rayuan berkata, Alabama tidak membentangkan sebarang bukti mengenai risiko keselamatan atau mengapa menjadi masalah melatih imam mengenai protokol penjara ketika hukuman dijalankan. — AFP

Berita Harian X