Khamis, 21 Februari 2019 | 1:52pm
Christine Schraner Burgener ketika tiba di Lapangan Terbang Sittwe, Rakhine, Myanmar pada Januari lalu. Foto Agensi
Christine Schraner Burgener ketika tiba di Lapangan Terbang Sittwe, Rakhine, Myanmar pada Januari lalu. Foto Agensi

UNSC dijangka bincang isu Myanmar minggu depan

NEW YORK (PBB): Amerika Syarikat, Perancis, Britain dan enam lagi negara anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dilapor bakal bermesyuarat bagi membincangkan isu Myanmar.

Bagaimanapun, menurut diplomat, mesyuarat itu diramal mendapat bantahan daripada China.

Mesyuarat yang bakal diadakan minggu depan itu, bertujuan mendengar hasil laporan wakil PBB, Christine Schraner Burgener yang mengunjungi Myanmar selama 12 hari bulan lalu, sekali gus membincangkan nasib pelarian Rohingya.

Sekitar 740,000 etnik Rohingya kini hidup di beberapa kem pelarian di Bangladesh, selepas melarikan diri dari kekejaman tentera di Rakhine, utara Myanmar pada 2017.

PBB menyifatkan tindakan itu sebagai satu kejadian pembersihan etnik.

Sebelum ini, Myanmar bersetuju untuk mengambil semula kesemua pelarian itu, susulan perjanjian yang ditandatangani dengan Bangladesh.

Namun, PBB bertegas bahawa keselamatan etnik Rohingya itu perlu diberi keutamaan, sebelum mereka dibenarkan pulang ke Rakhine.

Sementara itu, Schraner Burgener yang juga diplomat warga Switzerland sudah mengadakan lawatan sebanyak empat kali ke Myanmar sejak dilantik pada April lalu, tetapi gagal mencapai sebarang perkembangan.

Selain tiga negara yang mempunyai kuasa veto itu, Belgium, Jerman, Poland, Kuwait, Peru dan Republik Dominica turut berusaha mendesak UNSC memberi lebih tumpuan kepada isu Myanmar.

Menurut diplomat, China dijangka mengemukakan bantahan tetapi masih belum jelas sama ada negara itu akan menghalang mesyuarat itu, menerusi proses undian.

Sebanyak sembilan undian diperlukan untuk mengadakan mesyuarat berkenaan, dan undi veto tidak boleh dikuat kuasa dalam keadaan ini. - AFP

Berita Harian X