Khamis, 21 Februari 2019 | 11:08pm
Pelosi (tengah) menggesa pembuat dasar Demokrat dan Republikan menyokong resolusi menamatkan perisytiharan darurat Trump yang berusaha melangkau undang-undang bagi mendapatkan dana membina tembok di sempadan Mexico-AS. -Foto AFP

Pelosi gesa sokong resolusi sekat bina tembok

WASHINGTON: Speaker Kongres Demokrat, Nancy Pelosi menggesa pembuat dasar menyokong resolusi menamatkan darurat diisytiharkan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk membiayai pembinaan tembok di sempadan selatan dengan Mexico.

Trump mengumumkan perintah itu untuk melangkau Kongres, yang meluluskan hanya suku daripada sejumlah AS$5.6 bilion (RM22.85 bilion) dikehendakinya bagi membina tembok dalam rang undang-undang perbelanjaan.

Awal minggu ini, 16 negeri mengeluarkan saman berhubung pengisytiharan itu, namun pentadbiran Trump tetap meneruskan rancangan mengumpul tambahan AS$6.6 bilion (RM26.93 bilion) dalam pembiayaan persekutuan, kebanyakannya daripada Jabatan Pertahanan.

Anggota Kongres Texas, Joaquin Castro minggu lalu berikrar memperkenalkan resolusi menamatkan tindakan Trump.

Pembuat dasar memiliki tempoh sehingga jam 3 petang waktu tempatan hari ini untuk menyokongnya sebelum ia secara rasmi diperkenalkan Jumaat (esok).

“Saya menulis untuk menjemput semua Anggota Kongres menyokong resolusi Joaquin Castro. Keputusan presiden melangkau undang-undang dalam usaha mendapatkan apa yang beliau gagal capai dalam proses perundangan perlembagaan, melanggar Perlembagaan dan perlu ditamatkan.

“Kita mempunyai tanggungjawab suci mempertahankan Perlembagaan dan mempertahankan sistem periksa dan seimbang terhadap serangan presiden,” kata Pelosi dalam surat kepada anggota Demokrat dan Republikan lewat semalam. Demokrat segera menyatakan sokongan mereka.

“Saya menyokong Ya untuk menamatkan pengisytiharan,” Senator Demokrat Brian Schatz menulis tweet.

Sementara itu, anggota perwakilan Demokrat, Linda Sanchez dari California berkata, beliau ‘berbangga’ menyokong resolusi Castro. -AFP

Berita Harian X