Khamis, 23 Mei 2019 | 9:23am
JET pejuang F-22. - Foto AFP

AS pintas 6 pesawat tentera Russia di Alaska

WASHINGTON: Jet pejuang Amerika Syarikat memintas pesawat tentera Russia di ruang udara antarabangsa di barat Alaska, dan mengiringi ia sehingga keluar dari situ, kata Pemerintah Pertahanan Udara Amerika Utara (NORAD).

Pesawat Russia itu termasuk dua pengebom Tu-95, yang dipintas Isnin lalu oleh dua jet pejuang F-22.

Kumpulan kedua mengandungi dua pesawat pengebom Tu-95 dan dua jet pejuang Su-35 juga dipintas oleh dua pesawat F-22.

Pesawat peninjau AWACS memerhati operasi itu, kata NORAD, menambah pesawat Russia berada di ruang udara antarabangsa sepanjang tempoh itu.

Ia dikesan sebaik memasuki Zon Pengenalan Pertahanan Udara Alaska, garis perimeter yang terletak di luar udara kebangsaan tetapi trafik udara terus diletakkan di bawah pengawasan untuk mengurangkan tempoh tindak balas jika berlaku ancaman.

“Kemampuan kami untuk menghalang dan menewaskan ancaman kepada rakyat dan infrastruktur penting bermula dengan mengesan, menjejak dan mengenal pasti pesawat dalam ruang udara kami.

“Kami berwaspada 24 jam sehari, tujuh hari seminggu, 365 hari setahun,” kata komander NORAD, Jeneral Terrence O’Shaughnessy.

AS mempunyai empat Zon Pengenalan Pertahanan Udara dengan zon Alaska menjangkau kira-kira 320 kilometer dari pantai negeri itu. - AFP

Berita Harian X