Jumaat, 24 Mei 2019 | 10:41am
Sigourney Weaver.- Foto Reuters

Sigourney Weaver sambut ulang tahun 'Alien' ke-40

LOS ANGELES: Aktres Sigourney Weaver baharu berusia 28 tahun ketika mendapat peluang melakonkan watak Ripley dalam filem sains fiksyen menyeramkan, ‘Alien’.

Ripley, satu-satunya mangsa yang terselamat dalam serangan alien yang menyusup ke kapal angkasa mereka, menjadi antara protagonis wanita paling berpengaruh dan dihormati dalam filem sains fiksyen itu sebagai heroin yang perkasa.

Namun pada asalnya, skrip itu ditulis untuk pelakon lelaki.

“Saya menyangka ia hanya filem kecil. Ia hanya memiliki kumpulan kecil pelakon dan seorang pengarah muda yang bijak.

“Saya sukakan peranan saya, saya tidak fikir akan melakonkan watak Henry V tetapi mampu membawakan watak Ripley,” kata pelakon berusia 69 tahun itu menjelang ulang tahun ke-40 filem berkenaan.

Filem itu mengisahkan kru kapal angkasa. Nostromo yang akhirnya berjuang untuk hidup selepas alien mengambil alih kapal itu.

“Saya rasa skrip asal adalah untuk lelaki. Apabila menulis skrip baharu, mereka berbincang siapa yang sepatutnya selamat.

“Saya rasa alasan mereka akhirnya menjadikan Ripley ialah wanita, ketika itu, tiada siapa menyangka pelakon tidak dikenali akan melakonkan watak yang selamat,” katanya.

‘Alien’, yang ditayangkan pada 25 Mei 1979, menang Oscar untuk kesan visual terbaik. - Reuters

Berita Harian X