Sabtu, 8 Jun 2019 | 1:08am

NASA buka ISS kepada pelancong mulai 2020

NEW YORK: Pentadbir Angkasa Lepas dan Aeronautik Amerika Syarikat (NASA) akan membuka Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) kepada perniagaan termasuk pelancongan.

Perkembangan itu berlaku, ketika agensi terbabit cuba mengurangkan tanggungan kewangan terhadap makmal yang mengorbit Bumi itu.

Difahamkan, bayaran ‘penginapan’ di ISS dianggarkan sebanyak AS$35,000 (RM145,180) satu malam.

“NASA membuka ISS kepada peluang komersil dan pemasaran peluang ini. Kita tidak pernah melakukannya, sebelum ini,” kata ketua pegawai kewangan NASA, Jeff DeWit.

Menurut timbalan pengarah ISS, Robyn Gatens, kunjungan ‘angkasawan persendirian’ akan dihadkan kepada dua lawatan singkat setahun.

Misi itu dibenarkan untuk berada di ISS sehingga 30 hari dan sehingga 12 angkasawan persendirian boleh melawat ISS setiap tahun, kata NASA.

Angkasawan persendirian ini akan dibawa secara ekslusif oleh dua syarikat yang sedang membangunkan kenderaan untuk NASA termasuk SpaceX dan Boeing.

Syarikat terbabit akan memilih pelanggan dan mengenakan bayaran untuk perjalanan ke ISS, ia adalah pengembaraan paling mahal kira-kira AS$58 juta (RM240.58 juta) bagi tiket dua hala. - AFP

Berita Harian X