Jumaat, 28 Jun 2019 | 10:03am
Ketua Pegawai Eksekutif Twitter, Jack Dorsey.

Twitter selindung tweet ahli politik langgar peraturan

WASHINGTON: Twitter Inc akan mengenal pasti dan mengurangkan keutamaan tweet yang melanggar peraturan tetapi dibuat daripada sumber penting seperti ahli politik, untuk menyeimbangkan antara kebebasan bersuara dan akauntabiliti.

Twitter berkata, peraturan baru akan dikenakan kepada ahli politik dan pegawai kerajaan yang mempunyai lebih 100,000 pengikut.

“Kini, kami akan melabelkan dengan lebih jelas sebarang tweet yang melanggar syarat perkhidmatan tetapi memutuskan untuk mengekalkan ia disebabkan kepentingan awam,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Twitter, Jack Dorsey.

Jika ditandakan, notis akan menutup tweet yang menyinggung perasaan dan memerlukan pengguna mengklik pautan untuk melihatnya.

Pengkritik berkata, platform media sosial tidak melakukan secukupnya untuk mengawasi tweet daripada ahli politik yang boleh dibuang tetapi akan membuangnya jika ia dilakukan pengguna biasa.

Sebahagian daripada mereka menggesa Twitter membuang tweet berniat jahat oleh Presiden Donald Trump dan ahli politik lain.

Sementara Trump dan beberapa tokoh konservatif berulang kali menuduh syarikat teknologi itu menyebelahi golongan liberal.

Trump mempunyai lebih 61 juta pengikut di Twitter, dan banyak tweet beliau menjadi berita.

Jurucakap Twitter berkata, penilaian manusia akan menentukan tweet mana menerima label baru, bukan daripada pemantauan sistem komputer.

Jika sebarang pelanggaran ditemui, pasukan khas akan memutuskan sama ada tweet yang menjadi persoalan itu perlu dipertimbangkan dalam kepentingan awam. — Reuters

Berita Harian X