Sabtu, 13 Julai 2019 | 7:47am
JUTAWAN Amerika Syarikat (AS), Jeffrey Epstein. - Foto Reuters

Jeffrey Epstein cuba sogok bakal saksi

WASHINGTON: Jutawan Amerika Syarikat (AS), Jeffrey Epstein dipercayai cuba menyogok dua saksi bertujuan mempengaruhi mereka selepas dia didakwa terbabit dalam kes pemerdagangn seks kanak-kanak tahun lalu, kata pendakwa raya semalam.

Ketika memfailkan kes di mahkamah persekutuan Manhattan, pendakwa raya berkata Epstein membayar sejumlah AS$350,000 (RM1.4 juta) kepada dua individu yang tidak dinamakan.

Pendakwa berkata pihaknya mengetahui mengenai bayaran kepada bakal saksi itu menerusi rekod kewangan yang diperoleh daripada institusi kewangan yang dirahsiakan.

Rekod itu turut menunjukkan nilai bersih aset Epstein yang mencecah AS$500 juta (RM2 billion) dan menjana pulangan tahunan mencecah AS$10 juta (RM41 juta).

Pertuduhan itu dibuat sebagai sebahagian usaha pihak pendakwaan memastikan Epstein tetap ditahan sementara menanti perbicaraan.

Peguam Epstein gagal dihubungi untuk mengulas lanjut berhubung perkembangan terbabit.

Epstein, 66 ditahan pada 6 Julai lalu di Lapangan Terbang Teterboro, New Jersey sebaik tiba dari Paris. Dia mengaku tidak bersalah ke atas tuduhan pemerdagangan seks dan konspirasi.

Jutawan dana lindung nilai terbabit didakwa mengatur untuk gadis-gadis di bawah usia 18 tahun melakukan urutan dan perbuatan seks lain.

Dia turut didakwa membayar beberapa gadis untuk merekrut gadis lain sejak 2002 hingga 2005.

Pendakwa berkata, serbuan ke kediaman Epstein pada Sabtu lalu membawa kepada penemuan sejumlah gambar bogel gadis bawah umur. - Reuters

Berita Harian X