Sabtu, 13 Julai 2019 | 9:22am
SETIAUSAHA Buruh Amerika Syarikat (AS), Alexander Acosta. - Foto Reuters

Setiausaha Buruh Trump, Alexander Acosta letak jawatan

WASHINGTON: Setiausaha Buruh Amerika Syarikat (AS), Alexander Acosta meletak jawatan semalam selepas dikaitkan dengan kes pendakwaan salah laku seks terhadap jutawan, Jeffrey Epstein.

Acosta berkata, beliau tidak mahu menjadi ‘gangguan’ kepada kerja-kerja pentadbiran hanya kerana pernah terbabit mengendalikan kes Epstein lebih sedekad lalu.

“Saya melihat jauh ke hadapan dan merasa adalah tidak betul dan adil bagi pentadbiran Jabatan Buruh untuk diganggu kes Epstein ketika keadaan ekonomi negara cukup luar biasa kini,” kata Acosta.

Trump yang pernah memecat ramai pegawai kabinet dan pentadbiran lain di Rumah Putih sepanjang dua tahun setengah memimpin berkata, Acosta sendiri mahu meletak jawatan.

“Acosta menghubungi saya pagi tadi dan mahu berjumpa. Saya hanya mahu anda tahu bahawa ini adalah keputusan beliau dan bukan saya,” kata Trump kepada wartawan.

Peletakan jawatan Acosta akan berkuat kuasa dalam masa tujuh hari. Trump turut menamakan Timbalan Setiausaha Buruh, Patrick Pizella sebagai pemangku jawatan Setiausaha Buruh.

Acosta bersama dalam kabinet Trump sejak April 2017 dan berkhidmat sebagai peguam AS bagi Daerah Selatan di Florida sejak 2005 hingga 2009.

Di sinilah beliau mula mengendalikan kes pertama Epstein membabitkan salah laku seks dengan gadis bawah umur. Pengkritik mendakwa hukuman ke atas Epstein ketika itu adalah terlalu ringan.

Epstein, 66 ditahan pada 6 Julai lalu di Lapangan Terbang Teterboro, New Jersey sebaik tiba dari Paris. Dia mengaku tidak bersalah ke atas tuduhan pemerdagangan seks gadis bawah umur dan konspirasi. - Reuters

Berita Harian X