Jumaat, 26 Julai 2019 | 1:14pm

4 maut, 2 cedera kes tembakan di LA

LOS ANGELES: Empat ditembak mati dan dua lagi cedera dalam kes tembakan berlaku di kawasan kejiranan di Los Angeles semalam.

Kejadian mencetuskan gerakan memburu selama 12 jam sebelum polis berjaya menangkap suspek bersenjata itu.

Jurucakap polis Los Angeles mengenal pasti suspek sebagai Gerry Zaragoza, 26, dan berkata dia ditahan sementara menantikan tuduhan bunuh dalam kes tembak mati bapa dan saudara lelakinya dan mencederakan ibunya.

Kejadian berlaku di pangsapuri dikongsi oleh suspek dan ibu bapanya pada jam 2.00 pagi waktu tempatan semalam di Canoga Park di Los Angeles, kata polis.

Polis berkata, suspek turut didakwa menembak mati seorang wanita yang dikenali di stesen minyak di Hollywood Utara kira-kra 45 minit kemudian tetapi tidak menyatakan hubungan mereka.

Beberapa media merujuk wanita itu sebagai bekas teman wanitanya, manakala yang lain melaporkan mangsa cuma kenalan suspek.

Pada masa sama, dia didakwa mencederakan kerani stesen minyak itu.

Mangsa ditembak lima kali dan berada dalam keadaan kritikal, lapor Los Angeles Times dan media lain.

Kemudian, kira-kira jam 7.45 pagi, polis berkata Zaragoza didakwa menembak pekebun yang cuba dirompaknya di mesin ATM.

Pada kira-kira jam 1.00 tengah hari, dia didakwa menembak mati seorang lelaki dalam bas di kawasan kejiranan Van Nuys.

Laporan media menyatakan, suspek tidak tahu lelaki itu ada dalam bas dan tembakan itu dilepaskan secara rambang.

Los Angeles Times melaporkan Zaragoza ditangkap di Canoga Park selepas dijatuhkan anggota polis berpakaian awam kira-kira jam 2.30 petang.

Polis menggunakan pistol pegun untuk menewaskan Zaragoza. —Reuters

Berita Harian X