Isnin, 5 Ogos 2019 | 12:21pm
Firma keselamatan siber Amerika Syarikat, Cloudflare. Foto Agensi

Cloudflare singkir 8chan sebagai pelanggan

BENGALURU: Firma keselamatan siber Amerika Syarikat, Cloudflare hari ini, mengumumkan keputusan untuk menyingkirkan perkhidmatan mesej dalam talian, 8chan daripada senarai pelanggannya.

Keputusan itu diambil selepas suspek tembakan rambang di pasar raya Walmart di El Paso, Texas menggunakan forum mesej itu, sebelum menembak mati 20 mangsa, kelmarin.

Suspek terbabit dipercayai memuat naik kenyataan setebal empat muka surat di 8chan dan menyifatkan serangan di Walmart itu sebagai tindak balas terhadap pencerobohan golongan hispanik di Texas.

Terdahulu, lelaki kulit putih itu dan berasal daripada Allen, Texas, Dallas, yang terletak kira-kira 1,046 kilometer di timur El Paso, berhampiran sempadan Amerika Syarikat dan Mexico.

Beberapa media tempatan yang memetik pegawai penguat kuasa undang-undang melaporkan bahawa suspek itu dikenali sebagai Patrick Crusius.

Crusius dilaporkan memuat naik mesej di 8chan bagi menyatakan sokongannya terhadap penyerang dua buah masjid di Christchurch, New Zealand, yang mengorbankan 51 mangsa.

“Kami sudah menghantar notis bahawa kami menyingkirkan 8chan daripada senarai pelanggan berkuat kuasa tengah malam ini.

“Berdasarkan bukti yang kami perolehi, ia menunjukkan beliau (penembak) memuat naik mesej yang panjang ke laman web itu, sebelum memulakan serangan di Walmart El Paso, yang mengakibatkan 20 terbunuh,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Cloudflare, Matthew Prince di laman blognya. - Reuters

Berita Harian X