Jumaat, 16 Ogos 2019 | 11:01am
Seorang anggota kumpulan protes memegang tanda Jeffrey Epstein di depan Metropolitan Correction Center di bandar New York. - Foto AFP

Jeffrey Epstein mungkin mati akibat patah tengkuk

NEW YORK: Laporan bedah siasat ke atas pakar kewangan Jeffrey Epstein yang dipercayai membunuh diri, mendapati tengkuknya patah di beberapa tempat,” kata sumber pihak berkuasa.

Kecederaan ke atas mayat Epstein yang sedang menanti perbicaraan atas dakwaan konspirasi dan perdagangan seks menunjukkan ia boleh berlaku ke atas individu yang menggantung diri atau dicekik.

Epstein ditemui mati di sel penjara Pusat Pemulihan Metropolitan, Manhattan di New York Sabtu lalu.

Punca kematian jutawan itu masih disiasat namun tarikh laporan rasmi bedah siasat diumumkan belum dapat dipastikan.

Jeffrey Epstein mengaku tidak bersalah Julai lalu atas tuduhan perdagangan seks membabitkan puluhan gadis bawah umur di antara 2002 hingga 2005.

Epstein mati di sel penjaranya dua minggu selepas dia dimasukkan ke hospital akibat cuba membunuh diri.

Pada 24 Julai lalu, dia dikejarkan ke hospital selepas ditemui dalam keadaan separuh sedar di penjara. - Reuters

Berita Harian X