Sabtu, 17 Ogos 2019 | 12:47pm
Pengawal Awam di atas bot Sepanyol (kiri) mengambil gambar kapal tangki minyak Iran Grace 1, dengan namanya dan bendera Panama diturunkan setelah Mahkamah Agung wilayah Britain mengeluarkan waran perintah penahanannya, di Selat Gibraltar, selatan Sepanyol. - Foto REUTERS
Pengawal Awam di atas bot Sepanyol (kiri) mengambil gambar kapal tangki minyak Iran Grace 1, dengan namanya dan bendera Panama diturunkan setelah Mahkamah Agung wilayah Britain mengeluarkan waran perintah penahanannya, di Selat Gibraltar, selatan Sepanyol. - Foto REUTERS

AS keluar waran tahan kapal tangki Iran

WASHINGTON: Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) hari ini mengeluarkan waran bagi menahan kapal tangki milik Iran Grace 1 sehari selepas hakim Gibraltar membebaskan kapal yang ditahan itu.

AS mendakwa kapal itu adalah sebahagian daripada skim bertujuan menyusup masuk ke dalam sistem kewangan AS bagi menyokong eksport haram ke Syria dari Iran oleh Kor Pengawal Revolusi Islam yang dianggap sebagai pertubuhan pengganas asing.

Waran itu menyebut, kapal yang berlabuh di wilayah Mediterranean British hari ini dan semua muatan minyaknya akan dirampas berdasarkan pelanggaran Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa, penipuan bank, pengubahan wang haram dan keganasan.

Ia turut mengarahkan rampasan sejumlah wang bernilai AS$995,000 (RM4.1 juta) di dalam akaun di sebuah bank AS yang tidak dinamakan selepas dikaitkan dengan Paradise Global Trading LLC.

AS mendakwa Paradise Global Trading menjadi syarikat ‘pelindung’ kepada urus niaga yang berkaitan dengan Pengawal Revolusi.

Sehingga kini Britain dan Gibraltar masih belum memberi sebarang maklum balas berhubung waran berkenaan.

Dalam pada itu, Iran dikatakan sudah menghantar krew baru untuk mengendalikan kapal tangki itu dan 2.1 juta tong minyaknya.

Semalam, kapal tangki milik Iran yang ditahan di Gibraltar kerana melanggar sekatan Kesatuan Eropah (EU) dibenar meninggalkan negara itu walaupun AS cuba menghalangnya pada saat-saat akhir. - AFP

Berita Harian X