Sabtu, 17 Ogos 2019 | 1:50pm
JEFFREY Epstein. - Foto AFP

Jeffrey Epstein disahkan mati gantung diri - Koroner

NEW YORK: Pakar kewangan, Jeffrey Epstein yang ditemui mati di sel penjara di sini disahkan membunuh diri dengan cara menggantung dirinya, kata koroner hari ini.

Hasil bedah siasat itu diumumkan enam hari selepas jutawan berusia 66 tahun yang didakwa dengan jenayah pemerdagangan seks gadis bawah umur, ditemui mati di sebuah pusat tahanan keselamatan tinggi, Pusat Pemulihan Metropolitan.

The New York Times ketika memetik sumber pihak berkuasa berkata, Epstein menggunakan cadar untuk menggantung dirinya.

Laporan itu dibuat sehari selepas media AS berkata siasatan awal bedah siasat mendapati tulang di bahagian tengkuk Epstein patah.

Epstein yang sering dikaitkan dengan individu ternama seperti Putera Andrew dan Presiden Donald Trump, didakwa atas jenayah pemerdagangan seks gadis bawah umur dan konspirasi pemerdagangan seks gadis bawah umur.

Beliau menafikan semua tuduhan dan berdepan hukuman penjara sehingga 45 tahun jika sabit kesalahan. - AFP

Berita Harian X