Isnin, 26 Ogos 2019 | 1:47pm
Gambar fail diambil 14 November 2018 menunjukkan angkasawan NASA, Anne McClaine dalam pakaian sut angkasa lepas. -Foto AFP

NASA siasat jenayah pertama di angkasa lepas

WASHINGTON: Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) menyiasat apa yang dianggap jenayah pertama dilakukan di angkasa lepas, lapor akhbar The New York Times (NYT) kelmarin.

Angkasawan Anne McClain dituduh mencuri identiti dan secara tidak wajar mengakses rekod kewangan persendirian bekas pasangannya ketika berada dalam misi enam bulan di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS), kata akhbar.

Pasangannya, Summer Worden memfailkan aduan awal tahun ini dengan Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan (FTC) selepas mendapat tahu, McClain mengakses akaun bank miliknya tanpa kebenaran sementara keluarga wanita itu memfailkan satu lagi dengan Pejabat Ketua Inspektor NASA, menurut NYT.

Peguam McClain berkata, angkasawan itu tidak melakukan sebarang kesalahan dan mengakses rekod bank ketika di ISS bagi memantau keadaan kewangan gabungan pasangan itu, sesuatu dilakukannya sepanjang hubungan mereka, lapor akhbar.

Menurutnya, penyiasat NASA sudah menghubungi kedua-dua wanita terbabit.

McClain, yang kembali ke bumi Jun lalu, menjadi terkenal kerana dipilih untuk perjalanan angkasa lepas bersejarah dilakukan wanita, namun NASA membatalkan rancangan itu Mac lalu berikutan kekurangan pakaian angkasa lepas, mencetuskan tuduhan seksisme.

Worden berkata, FTC tidak menjawab laporan kecurian identiti, namun seorang penyiasat mengkhusus dalam kes jenayah dengan pejabat ketua inspektor NASA sedang meneliti tuduhan. -AFP

Berita Harian X