Rabu, 28 Ogos 2019 | 7:45am
Pekerja perbandaran melakukan pembersihan di bandar Ponce, berhampiran pantai selatan Puerto Rico bagi menghadapi taufan Dorian yang bakal melanda wilayah tersebut. - Foto EPA
Pekerja perbandaran melakukan pembersihan di bandar Ponce, berhampiran pantai selatan Puerto Rico bagi menghadapi taufan Dorian yang bakal melanda wilayah tersebut. - Foto EPA

Puerto Rico bersiap sedia hadapi Dorian

SAN JUAN: Puerto Rico menggerakkan ribuan ejen persekutuan sementara menantikan taufan pertama yang bakal melanda wilayah Amerika Syarikat itu sejak ia dibadai Maria pada 2017.

Ramalan kaji cuaca memberi amaran Ribut Tropika Dorian boleh mencapai kekuatan taufan sebaik melintasi pantai barat daya kepulauan itu hari ini.

Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan berkata, kira-kira 3,000 ejen sudah ditempatkan dan bersedia untuk bertindak.

“Pasukan komunikasi kecemasan, logistik dan pengangkutan juga ditempatkan di pulau itu,” kata agensi itu di Twitter.

Pada September 2017, Taufan Maria menyebabkan kemusnahan teruk di Puerto Rico yang masih belum pulih sepenuhnya sehingga kini.

“Wow! Satu lagi ribut besar menuju ke Puerto Rico.

“Adakah ia akan berakhir!” tweet Presiden Donald Trump.

Beliau menyatakan bantuan AS yang sudah diluluskan bagi pulau itu tahun itu adalah yang tertinggi iaitu AS$92 bilion (RM386 bilion).

Gabenor baru Puerto Rico, Wanda Vazquez, mengisytiharkan darurat dan berkata persediaan pulau itu lebih baik kali ini untuk berhadapan sebarang kecemasan. — AFP

Berita Harian X