Isnin, 2 September 2019 | 8:21am
Kebakaran masih berlaku dalam hutan hujan Amazon ketika ia dibersihkan pembalak dan petani berhampiran Porto Velho, Brazil. -Foto Reuters

Kebakaran di Amazon Brazil masih meningkat

SAO PAULO: Jumlah kebakaran hutan di kawasan tadahan Amazon, Brazil masih meningkat walaupun kerajaan sudah melarang aktiviti pembakaran, kata pihak berkuasa kelmarin.

Dalam tempoh 48 jam pertama sejak larangan dikeluarkan, data satelit daripada Institut Penyelidikan Angkasa Lepas Nasional (INPE) menunjukkan, 3,859 kejadian kebakaran meletus dengan 2,000 daripadanya tertumpu di rantau Amazon.

Bermula Januari hingga akhir Ogos lalu, 51.9 peratus daripada sejumlah 88,816 kebakaran di Brazil berlaku dalam hutan hujan itu, menurut INPE, dengan sejumlah pakar menyifatkan ia akibat pembakaran dramatik dan meluas petani.

Rantau Amazon Brazil kini berada pada musim kering, namun pakar mengakui tahun 2019 lebih lembap berbanding tahun sebelumnya dan menegaskan, kebakaran semula jadi tidak berlaku dalam hutan hujan itu.

Dekri larangan pembakaran mungkin terlalu lewat dan lebih kepada tindakan politik berbanding praktikal, kata sesetengah penganalisis.

Pemusnahan hutan meningkat tahun ini ketika agensi ditugaskan memantau aktiviti haram dilemahkan oleh pemerintahan sayap kanan Presiden Jair Bolsonaro.

Sering menggelar Presiden Donald Trump, pencinta hutan Tropika, Bolsonaro menyoal perubahan iklim dan mempertahankan tindakan petani yang memerlukan tanah untuk meneruskan kehidupan.

Sejak hujung minggu lalu, ribuan askar, anggota bomba dan pesawat dikerahkan serta Kementerian Pertahanan berkata, kebakaran dapat dikawal.

Bolsonaro mendakwa dalam hantaran langsung Facebook Khamis lalu, kebakaran tahun ini berada di bawah purata sejak beberapa tahun lalu.

Pemusnahan hutan untuk pertanian adalah antara ancaman paling serius terhadap hutan hujan itu dan menjadi masalah terkini di Bolivia, Brazil, Colombia, Ecuador, French Guiana, Guyana, Peru, Suriname dan Venezuela.

Petani Brazil, Peru, Ecuador dan Bolivia biasanya menjalankan pembakaran dalam musim kering untuk membersihkan semak di kawasan hutan bagaimanapun ia sering menjurus kepada aktiviti tidak terkawal yang memberi kesan lebih besar kepada hutan hujan.

Menaikkan kemarahan aktivis alam sekitar, kerajaan Bolivia baru-baru ini meluluskan petani untuk membakar 20 hektar kawasan berbanding kebiasaan lima hektar, dipercayai menyumbang kepada kebakaran hutan yang memusnahkan 1.2 juta hektar kawasan rumput dan hutan sejak Mei lalu. -AFP

Berita Harian X