Khamis, 5 September 2019 | 8:43am
Pesawat Airbus A380-800 milik Thai Airways ketika mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Bangkok, Thailand pada 3 September lalu. Foto Reuters

Bangkok ungguli senarai terima pelancong tertinggi

NEW YORK: Bangkok mengekalkan kedudukan tempat pertama pada 2018, iaitu bagi tempoh empat tahun berturut-turut sebagai bandar raya yang menerima jumlah pelancong antarabangsa tertinggi di dunia.

Menurut laporan tahunan yang dikeluarkan oleh Mastercard semalam, Thailand menerima hampir 23 juta pelancong antarabangsa tahun lalu, sekali gus menewaskan Paris dan London yang berada pada kedudukan kedua serta ketiga, dengan lebih 19 juta pelancong.

Bandar raya lain yang berada dalam senarai berkenaan adalah Dubai, Emiriah Arab Bersatu; Singapura; Kuala Lumpur, Malaysia; New York, Amerika Syarikat; Istanbul, Turki; Tokyo, Jepun dan Antalya, Turki.

Laporan itu turut menunjukkan terdapat peningkatan dalam pelancongan antarabangsa, dengan jumlah kunjungan antarabangsa meningkat sebanyak 76 peratus sejak 2009.

Menurut laporan itu, sembilan daripada 10 bandar raya mencatatkan peningkatan pelancong antarabangsa pada tahun lalu, berbanding tahun sebelumnya.

Namun, jumlah pelancong antarabangsa ke London, United Kingdom mencatatkan penurunan sebanyak empat peratus.

Sementara itu, Dubai mengungguli senarai jumlah perbelanjaan tertinggi, dengan jumlah pelancong berbelanja pada anggaran AS$553 (RM2,322) setiap hari dan keseluruhan hampir AS$31 bilion (RM130 bilion) setahun.

Ia diikuti oleh Makkah, Arab Saudi dan Bangkok, Thailand bagi kedudukan kedua serta ketiga daripada segi perbelanjaan.

Laporan Bandar Destinasi Global itu diterbitkan sejak 2011 bagi menentukan kedudukan 200 bandar raya di seluruh dunia, berdasarkan jumlah ketibaan pelancong dan kadar perbelanjaan merentasi sempadan. - AFP

Berita Harian X