Isnin, 16 September 2019 | 11:56am

New York haramkan semua e-rokok berperisa

NEW YORK: Gabenor New York, Andrew Cuomo, semalam mengumumkan pengharaman semua rokok elektronik (e-rokok) berperisa selain tembakau dan mentol.

Ia sebagai reaksi kepada kejadian baru-baru ini termasuk masalah paru-paru membawa maut yang dikaitkan oleh pegawai kesihatan dengan kegiatan menghisap vape.

Cuomo berkata, vape bahaya dan bimbang dengan e-rokok berperisa buah dan gula-gula yang membawa kepada golongan muda bergantung kepada nikotin.

“Ia jelas mensasarkan golongan muda dan ia amat berkesan,” katanya dalam sidang akhbar di Manhattan.

Hampir 400 orang di seluruh AS mengalami sakit paru-paru yang berkemungkinan besar ada kaitan dengan vape, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS. Enam meninggal dunia setakat ini.

Penyiasat masih cuba memahami apa punca penyakit itu.

Sementara itu, pegawai kesihatan memberi amaran kepada oran ramai supaya tidak membeli produk vape di jalan raya atau menggunakan minyak yang diperoleh daripada ganja.

Di New York, pesuruhjaya kesihatan negeri, Howard Zucker, akan mengharamkan secara rasmi e-rokok berperisa selain tembakau dan mentol pada mesyuarat tergempar Majlis Kesihatan Umum dan Perancangan Kesihatan minggu ini, kata Cuomo.

New York menjadi negeri kedua memperkenalkan larangan seumpama itu selepas Michigan berbuat demikian awal bulan ini. — Reuters

Berita Harian X