Khamis, 19 September 2019 | 10:32am

Hospital Kanada terima pesakit vape pertama

OTTAWA: Seorang remaja menjadi pesakit pertama dimasukkan ke hospital di Kanada kerana penyakit pernafasan akut, dikaitkan dengan penggunaan vape semalam.

Ia menyusul penularan kes sama di Amerika Syarikat (AS) yang sudah meragut tujuh nyawa dan menyebabkan ratusan lagi jatuh sakit.

Unit Kesihatan Middlesex-London berkata dalam satu kenyataan, seorang remaja didiagnosis dengan penyakit pernafasan akut disebabkan penggunaan produk vape.

Seorang anggota perubatan, Christopher Mackie, memberitahu sidang akhbar, pelajar sekolah tinggi di Ontario itu yang menghisap vape setiap hari dimasukkan unit rawatan rapi sebuah hospital tempatan namun sudah sembuh.

“Sepanjang yang kami tahu, ia adalah kes pertama berkaitan vape yang dilaporkan di Kanada,” katanya.

Rokok elektronik dijual di AS dan Kanada sejak 2006, dan kadang-kala digunakan untuk membantu perokok berhenti menghisap produk tembakau tradisi.

Di sebalik larangan menjual produk vape kepada remaja di Kanada, penggunaan dalam kalangan golongan itu bertambah sejak beberapa tahun lalu di AS dan Kanada.

Pusat Kawalan Penyakit dan Pencegahan (CDC) berkata ada lebih 450 kemungkinan kes sakit paru-paru berkaitan vape di AS.

CDC dan Kesihatan Kanada memberi amaran mengenai penggunaan vape ketika pegawai menyiasat punca sebenar kematian. — Agensi

Berita Harian X