Selasa, 24 September 2019 | 5:31pm
Greta, warga Sweden berusia 16 tahun yang juga aktivis iklim berucap dalam Sidang Kemuncak Tindakan Iklim di ibu pejabat PBB di New York. - Foto EPA
Greta, warga Sweden berusia 16 tahun yang juga aktivis iklim berucap dalam Sidang Kemuncak Tindakan Iklim di ibu pejabat PBB di New York. - Foto EPA

Trump ditempelak warganet ejek ucapan remaja autisme

NEW YORK: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump membangkitkan kemarahan terbaru warganet di media sosial hari ini dalam laman sosial Twitter apabila mengejek ucapan dibuat seorang aktivis berusia 16 tahun, Greta Thunberg semasa sidang kemuncak iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini.

Semasa menyampaikan ucapan itu, suara Thunberg kelihatan gementar dan penuh emosi apabila mendakwa pemimpin dunia mengkhianati generasinya apabila gagal bertindak terhadap peningkatan pencemaran udara sambil mengulangi ayat ‘beraninya kamu’ sebanyak empat kali.

“Kamu merampas impian dan zaman kanak-kanak saya dengan kata-kata kosong anda, tetapi saya adalah salah seorang yang bertuah itu.

“Orang ramai sedang menderita. Mereka sedang menunggu mati,” katanya.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. - Foto AFP
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. - Foto AFP

Namun, Trump menerusi ciapan di Twitter, “Dia seperti seorang remaja perempuan yang sangat gembira melihat masa depan yang cerah dan indah. Ia sangat menarik!,” kata Trump dengan menyertakan video pendek ucapan dibuat Thunberg beberapa jam selepas itu.

Ejekan terhadap aktivis remaja itu yang juga menderita sindrom Asperger iaitu penghidap autisme sederhana, mengundang lebih 16,000 komen yang kebanyakan ‘menyerang’ Trump.

“Tindakan Donald Trump memilih gadis remaja yang tidak bersalah adalah sangat jijik,” komen seorang pemilik akaun Twitter. - AFP

Berita Harian X