Jumaat, 27 September 2019 | 10:19am

12 maut akibat penyakit berkaitan vape di AS

WASHINGTON: Sejumlah 12 orang maut di Amerika Syarikat (AS) akibat penyakit berkaitan tabiat menghisap vape manakala 805 kes kecederaan paru-paru yang dikaitkan dengan penggunaan rokok elektronik (e-rokok) dilaporkan setakat ini, kata pegawai perubatan.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) yang melaporkan angka korban terkini itu bagaimanapun belum dapat mengenalpasti bahan khusus yang menyebabkan penyakit terbabit.

Bagaimanapun, kebanyakan pesakit ada melaporkan sejarah menggunakan produk e-rokok mengandungi THC, bahan psikoaktif utama dalam kanabis.

Kenaikan mendadak kes membabitkan penyakit pulmonari berkemungkinan ada kaitan dengan katrij isian semula vape yang tercemar di pasaran gelap.

CDC berkata, 12 kematian di 10 negeri termasuk California hingga ke Florida dan 805 kes yang disahkan serta berkemungkinan ada kaitan dengan kecederaan paru-paru akibat menghisap vape dilaporkan di 46 negeri dan di Kepulauan Virgin. Kematian pertama dilaporkan Ogos lalu.

Sepanjang tiga minggu lalu, India dan Massachusetts mengharamkan penjualan e-rokok manakala dua lagi negeri, New York dan Michigan kini melarang produk e-rokok berperisa.

Pentadbiran Presiden Donald Trump pula merancang untuk mengharamkan semua kecuali produk berperisa tembakau mulai Oktober ini. - AFP

Berita Harian X