Jumaat, 4 Oktober 2019 | 12:20pm
Seorang lelaki sedang menghisap vape. Foto Reuters

1,080 sakit akibat hisap vape di Amerika Syarikat

WASHINGTON: Jumlah pesakit yang mengalami kecederaan paru-paru yang dikaitkan dengan penggunaan e-rokok, semakin meningkat melebihi lebih 1,000 orang.

Pihak berkuasa kesihatan Amerika Syarikat, berkata angka kematian akibat e-rokok masih kekal pada kadar 18 mangsa.

Namun, pihak berkuasa masih gagal mengenal pasti punca wabak berkenaan, yang berlaku sejak Jun lalu dan sedang menjalankan pelbagai siasatan mengenai perkara itu.

Bulan lalu, sekumpulan doktor di Carolina Utara melaporkan bahawa tindakan menyedut bahan lemak dari minyak aerosol, mengakibatkan masalah pneumonia lipoid akut.

Bagaimanapun, kajian terbaharu yang diterbitkan oleh Klinik Mayo minggu ini, menemui penghidap penyakit paru-paru yang terdedah kepada asap berbahaya.

“Saya fikir, kini kita mula menyedari bahawa produk e-rokok atau vape ini mengandungi pelbagai bahan berbeza dan ia mungkin menyebabkan masalah kepada paru-paru,” kata pegawai kanan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), Anne Schuchat ketika dihubungi menerusi telefon.

Setakat ini, 1,080 kes sedang disiasat, berbanding 275 kes minggu lalu, membabitkan gabungan pesakit baharu yang jatuh sakit sejak dua minggu lalu, serta pesakit yang dikenal pasti baru-baru ini.

Daripada 578 pesakit yang ditemubual mengenai kandungan bahan yang digunakan, seramai 78 peratus melaporkan penggunaan tetrahydrocannabinol (THC) dengan atau tanpa bahan nikotin.

Sebanyak 37 peratus lagu melaporkan penggunaan eksklusif produk THC dan baki 17 peratus berkata, mereka hanya menggunakan produk mengandungi nikotin.

THC adalah bahan psikoaktif utama ganja.

Sementara itu, kira-kira 70 peratus pesakit adalah lelaki dan 80 peratus adalah individu berusia bawah 35 tahun. - AFP

Berita Harian X