Jumaat, 1 November 2019 | 9:48am
Amerika Syarikat mengenakan lebih banyak sekatan ke atas Iran, selepas Presiden Donald Trump menarik diri daripada perjanjian nuklear 2015, tahun lalu. Foto Reuters
Amerika Syarikat mengenakan lebih banyak sekatan ke atas Iran, selepas Presiden Donald Trump menarik diri daripada perjanjian nuklear 2015, tahun lalu. Foto Reuters

Washington laksana sekatan baharu ke atas Iran

WASHINGTON: Amerika Syarikat semalam, mengumumkan sekatan ke atas sektor pembinaan Iran dan perdagangan membabitkan empat bahan yang digunakan pihak tentera atau program nuklear negara itu.

Namun, Washington menarik semula beberapa sekatan terdahulu, bagi membolehkan beberapa firma asing meneruskan projek pembangunan di Iran.

Keputusan yang diumumkan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat itu memberi gambaran mengenai usaha negara itu, meningkatkan tekanan ke atas Iran, apabila mengenakan lebih banyak sekatan ekonomi.

Bagaimanapun, pada masa sama, ia membuka ruang diplomasi yang membolehkan pembangunan kemudahan nuklear diteruskan di Iran, sekali gus menyukarkan negara itu menghasilkan bom nuklear.

Tahun lalu, pentadbiran Presiden Trump menarik diri dari perjanjian nuklear 2015 dan mengikut pakatan itu, Iran bersetuju mengehadkan program nuklearnya dengan syarat beberapa sekatan yang menjejaskan ekonominya,

ditarik balik.

Susulan itu, Washington menguatkuasa semula beberapa sekatan bagi memaksa Iran berunding membabitkan perjanjian yang bakal mengehadkan program peluru berpandu dan aktiviti mereka. - Reuters

Berita Harian X