Rabu, 6 November 2019 | 8:25am
Gambar fail, tapak pengayaan nuklear Iran, berhampiran bandar Qom, 156 kilometer barat daya Tehran. - Foto REUTERS

AS tuduh pengayaan uranium Iran satu 'ugutan nuklear'

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) hari ini menuduh Iran melakukan ‘ugutan nuklear’ dan berikrar tidak akan tunduk selepas regim itu berkata akan meneruskan pengayaan uranium di kemudahan utamanya Fordow.

“Iran tidak mempunyai alasan kukuh untuk mempertingkatkan program pengayaan uranium di kemudahan Fordow atau di loji lain, selain daripada cubaan melakukan ugutan nuklear yang hanya akan memburukkan lagi sekatan politik dan ekonomi ke atasnya,” kata jurucakap Jabatan Negara AS.

“Kami akan terus mengenakan sekatan maksimum ke atas regim itu sehingga ia menghentikan tingkah laku yang tidak stabil ini,” katanya.

Presiden Hassan Rouhani berkata, Iran akan meneruskan proses pengayaan di loji berhampiran bandar suci Qom yang digantung di bawah perjanjian nuklear 2015 bersama AS dan lima kuasa dunia lain.

Ia tindakan terkini Iran bagi mendapatkan faedah ketara daripada perjanjian yang ditinggalkan AS, ketika Presiden Donald Trump mengenakan sekatan ketat bertujuan mengurangkan peranan serantau Tehran.

Jabatan Negara berkata ia akan menunggu pengesahan daripada pemerhati nuklear PBB, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa, yang mempertingkatkan pemeriksaan di bawah perjanjian 2015. - AFP

Berita Harian X