Rabu, 6 November 2019 | 10:50am
Gambar fail, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat pengeluar kereta elektrik Tesla, Elon Musk berucap pada sidang akhbar mengumumkan perkembangan baru kapal angkasa yang boleh diguna semula oleh Crew Dragon, di ibu pejabat SpaceX di Hawthorne, California pada Oktober lalu. - Foto AFP

Elon Musk kembali ke Twitter selepas 'hilang'

SAN FRANCISCO: Ketua Pegawai Eksekutif syarikat pengeluar kereta elektrik Tesla, Elon Musk kembali ke pentas media sosial selepas menghilangkan diri dari Twitter minggu lalu tanpa sebarang penjelasan.

Lewat Isnin lalu, pemilik firma angkasa SpaceX itu menghantar tweet ucapan tahniah kepada kru kapal angkasa Dragon yang menamatkan 13 ujian payung terjun Mark 3 yang dipertingkatkan dengan jayanya.

Namun Jumaat lalu, beliau mengejutkan kira-kira 29 juta pengikutnya selepas berundur dari platform berkenaan dengan mesej ringkas: “Not sure about good of Twitter,” diikuti dengan “Going offline”.

Difahamkan sejak beberapa bulan lalu, kredibiliti beliau agak terjejas susulan komennya di Twitter.

Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Amerika Syarikat yang menuduhnya mengelirukan pelabur Tesla di platform berkenaan sehingga kes itu diselesaikan di mahkamah meminta beliau berundur sebagai pengerusi firma automotif itu.

Musk juga disaman selepas memfitnah seorang lelaki yang membantu menyelamatkan 12 remaja lelaki yang terperangkap di sebuah gua di Thailand tahun lalu berikutan tweetnya yang menggelar penyelamat British itu ‘lelaki pedofilia’. - AFP

Berita Harian X