Khamis, 7 November 2019 | 11:20am
Dua bekas kakitangan Twitter dituduh mengintip di Amerika Syarikat. Foto AFP

Bekas pekerja Twitter dituduh mengintip

WASHINGTON: Dua bekas kakitangan Twitter Inc (Twitter) dan seorang lagi lelaki dari Arab Saudi bakal berdepan tuduhan mengintip di Amerika Syarikat, bagi pihak negara itu.

Mengikut aduan yang difailkan semalam, ketiga-tiga tertuduh didakwa menggodam data pengguna, sebelum menyerahkannya kepada pegawai Arab Saudi dengan bayaran tertentu.

“Ali Alzabarah dan Ahmad Abouammo, iaitu bekas kakitangan Twitter, serta Ahmed Almutairi, yang pernah berkhidmat dengan keluarga diraja Arab Saudi, berdepan tuduhan bekerja dengan kerajaan negara itu tanpa berdaftar sebagai ejen luar negara,” kata aduan yang difailkan ke atas mereka.

Menurut aduan itu lagi, Ahmad berulang kali mengakses akaun Twitter pengkritik utama keluarga diraja Arab Saudi pada awal 2015, malah mampu melihat alamat e-mel dan nombor telefon yang mempunyai kaitan dengan akaun terbabit.

Beliau turut mengakses akaun milik seorang lagi pengkritik Kerajaan Arab Saudi, bagi memperoleh maklumat peribadinya.

“Maklumat ini digunakan untuk mengenal pasti dan mengesan pengguna Twitter yang memuat naik mesej berkenaan,” kata Jabatan Keadilan dalam satu kenyataan. - Reuters

Berita Harian X