Ahad, 10 November 2019 | 4:55pm
Keadilan untuk Alexis Crawford. - Foto Facebook: alexiscrawfordmissingByMIM

Pelajar kolej dilaporkan hilang ditemui mati

ATLANTA : Mayat seorang pelajar kolej ditemui Jumaat lalu, selepas dilaporkan hilang pada akhir Oktober dan pihak berkuasa berjaya mengenal pasti dua suspek.

Mayat Alexis Crawford, 21, pelajar senior di Universiti Clark Atlanta dijumpai di sebuah taman di Dekalb County, pinggir Columbia Drive di Atlanta.

Ketua Polis Atlanta, Erika Shields dalam satu sidang media berkata, pihak berkuasa dibawa ke lokasi kejadian oleh teman dan rakan serumah Crawford, Jordyn Jones.

Ia membolehkan pihak polis mengenal pasti Jones, 21 sebagai suspek dalam kematian Crawford.

Jones sebelum itu memberitahu pihak berkuasa, dia kali akhir melihat Crawford pada 30 Oktober di pangsapuri luar kampung, kira-kira 2 kilometer dari kampus.

Penyiasat juga menamakan teman lelaki Crawford, Barron Brantley, 21 sebagai seorang lagi suspek dalam kes berkenaan.

Menurut Shields, Crawford sebelum kejadian membuat laporan polis yang mendakwa Brantley berkelakuan tidak sopan.

“Walaupun polis tidak dapat melihat motif kejadian, kami tetap mengambil laporan dibuat Alexis Crawford pada 27 Oktober. Alexis dalam laporan itu mendakwa Barron Brantley mencium dan menyentuhnya tanpa kebenaran,” katanya.

Polis sedang mendapatkan waran bagi membolehkan kedua suspek ditahan.

Keluarga Crawford melaporkan kehilangannya pada 1 November, selepas gagal untuk datang bekerja atau menghadiri kuliah sejak 30 Oktober. - Agensi

Berita Harian X