Isnin, 11 November 2019 | 8:03am
EVO Morales

Presiden Bolivia umum letak jawatan

LA PAZ: Presiden Bolivia, Evo Morales, meletak jawatan semalam, susulan bantahan selama tiga minggu yang kadang-kadang bertukar ganas selepas pasukan tentera dan polis menarik balik sokongan.

Tunjuk perasaan dilancarkan berikutan pemilihan semula Morales yang dipertikaikan.

“Saya meletak jawatan sebagai presiden,” kata Morales dalam ucapan di televisyen, mengakhiri peristiwa bergerak pantas yang menyaksikan ramai menteri dan pegawai kanan turut berbuat demikian sebagai sokongan kepada presiden paling lama berkhidmat di Amerika Latin itu.

Rakyat Bolivia segera menyalakan mercun dan mengibarkan bendera negara itu sebagai menyambut pengumuman Morales.

Calon pembangkang utama pada pilihan raya, Carlos Mera, berkata rakyat Bolivia sudah memberikan pengajaran kepada dunia.

“Esok, Bolivia adalah negara baharu,” katanya.

Cuba dan Venezuela, sekutu Morales sekian lama, selain pemimpin berhaluan kiri Brazil,

Luiz Inacio Lula da Silva, mengutuk apa yang dianggap mereka ‘rampasan kuasa’.

Morales, presiden pribumi pertama Bolivia, diisytiharkan pemenang pada pilihan raya 20 Oktober lalu dengan kemenangan tipis, memberikan beliau mandat penggal keempat, selepas memegang jawatan itu pada 2006.

Namun pembangkang berkata berlaku penipuan pada pilihan raya dan bantahan jalanan selama tiga minggu diadakan, yang menyaksikan tiga maut dan ratusan cedera. — AFP

Berita Harian X