Selasa, 12 November 2019 | 7:35am
Pesawat Boeing 737 MAX. Foto hiasan

Boeing 737 MAX kembali beroperasi Januari depan

NEW YORK: Boeing mengumumkan bahawa pesawat 737 MAX akan mula beroperasi Januari depan, iaitu penangguhan selama sebulan, selepas digantung operasinya susulan dua insiden kemalangan yang mengorbankan 346 mangsa.

Dalam satu kenyataan, syarikat itu berkata, mereka masih menaruh harapan untuk memperoleh pensijilan daripada Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) bulan depan, bagi membolehkan mereka menyerahkan pesawat itu kepada pelanggan menjelang akhir tahun ini.

“Ketika ini, kami berusaha mencapai sasaran pengesahan akhir membabitkan keperluan latihan terkini, yang perlu dipatuhi sebelum MAX boleh kembali memulakan perkhidmatan komersial dan sekarang kami menjangkakan ia boleh dilaksanakan Januari depan,” kata Boeing.

Mengikut perancangan awal, pesawat Boeing 737 MAX bakal beroperasi semula pada bulan depan.

Dalam pada itu, pengumuman itu mendapat sambutan baik daripada pasaran, malah saham Boeing meningkat sebanyak 4.7 peratus pada jam 2.30 (waktu tempatan) ketika diniagakan di Bursa Saham New York.

Terdahulu, pesawat 737 MAX digantung operasinya di seluruh dunia sejak pertengahan Mac lalu.

Ia berikutan dua nahas membabitkan syarikat penerbangan Lion Air pada Oktober tahun lalu dan Ethiopian Airlines pada Mac lalu. - AFP

Berita Harian X