Selasa, 12 November 2019 | 11:05am
Syarikat pengeluar kapal angkasa Amerika Syarikat, SpaceX hari ini melancarkan set kedua satelit mini Starlink ke orbit dalam usaha memperluaskan lagi akses internet di seluruh dunia. - Foto AFP

SpaceX lancar set satelit mini Starlink kedua ke orbit

WASHINGTON: Syarikat pengeluar kapal angkasa Amerika Syarikat, SpaceX hari ini melancarkan set kedua satelit mini Starlink ke orbit dalam usaha memperluaskan lagi akses internet di seluruh dunia.

Roket Falcon-9 yang dilancarkan dari Cape Canaveral Florida itu bakal menempatkan 60 satelit mini di orbit bagi menyertai 60 lagi yang dilancarkan Mei lalu.

Hasrat syarikat rangkaian AS, Starlink yang menyasar untuk menempatkan sehingga 42,000 satelit di orbit itu menggusarkan saintis yang merasakan ruang angkasa kini semakin sesak.

Pelancaran itu disiarkan secara langsung oleh SpaceX, syarikat milik Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla Inc, Elon Musk.

Difahamkan, Musk berhasrat untuk menguasai tiga daripada lima peratus pasaran internet dunia, bahagian yang nilainya mencecah AS$30 bilion (RM124 bilion) setahun atau 10 kali lebih tinggi berbanding pendapatan daripada pelancaran SpaceX ke angkasa.

Setakat ini, pihak berkuasa AS membenarkan Musk melancarkan 12,000 satelit di beberapa orbit berbeza dan beliau turut memohon untuk melancarkan lebih 30,000 lagi.

Terkini, terdapat lebih daripada 2,100 satelit aktif di orbit di sekeliling bumi.

Ahli astronomi berkata, pertambahan satelit itu akan menyukarkan penglihatan pada malam hari sekali gus mengganggu teleskop di angkasa.

Saintis lain pula bimbang ruang angkasa yang semakin sesak akan mengakibatkan perlanggaran yang lebih serius di antara satelit. - AFP

Berita Harian X