Selasa, 12 November 2019 | 12:01pm
BEKAS Presiden Amerika Syarikat (AS), Jimmy Carter. - Foto Reuters

Bekas Presiden AS, Jimmy Carter alami pendarahan dalam otak

GEORGIA: Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Jimmy Carter dimasukkan ke sebuah hospital di Atlanta semalam untuk menjalani prosedur akibat pendarahan dalam otak selepas terjatuh, kata Carter Center dalam satu kenyataan.

Carter, 95 bekas presiden tertua di dunia itu dimasukkan ke Hospital Universiti Emory, tiga minggu selepas retak tulang pelvik akibat terjatuh di kediamannya di Plains, Georgia. Beliau dibenarkan keluar beberapa hari selepas itu.

Beliau turut terjatuh awal Oktober lalu sehingga menerima beberapa jahitan di muka, namun kembali berkhidmat untuk kumpulan kemanusiaan dikenali sebagai Habitat for Humanity tidak lama selepas itu.

Pada Mei lalu, bekas pemimpin parti Demokratik itu patah tulang pinggul di kediamannya sehingga terpaksa menjalani pembedahan. Beliau juga pernah dimasukkan ke hospital akibat dehidrasi pada 2017 dan didiagnos mengalami kanser kulit pada 2015.

Setakat ini tiada maklumat lanjut diperoleh berhubung keadaan terkini beliau sebaik dimasukkan ke hospital.

Carter Center berkata, prosedur bertujuan mengurangkan tekanan di otak itu dijangka dilakukan pagi Selasa.

“Beliau juga sedang berehat dengan selesa ditemani isterinya Rosalynn, 92,” kata pusat itu lagi.

Bekas petani kacang tanah dan Gabenor Georgia itu menewaskan Presiden Republikan, Gerald Ford pada 1976 untuk menjadi presiden AS ke-39.

Beliau berkhidmat selama satu penggal selepas tewas kepada calon Republikan, Ronald Reagan pada 1980. - Reuters

Berita Harian X