Selasa, 12 November 2019 | 4:56pm
Selepas kematian Abu Bakr (gambar) dan jurucakap utama Daesh, Abu Hassan al-Muhajir, dalam serbuan hari berikutnya, kumpulan militan itu menamakan Abu Ibrahim al-Hashimi al-Quraishi yang tidak dikenali sebagai pemimpin baharunya. -Agensi

Pengganti ketua Daesh dalam pengawasan - Trump

NEW YORK: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump meletakkan ketua militan Daesh yang baharu dalam sasaran pentadbirannya semalam ketika beliau menyambut Hari Veteran dengan meraikan kematian Abu Bakr al-Baghdadi.

Ketika Presiden AS secara tradisi menyambut hari berkenaan dengan meletakkan kalungan bunga di perkuburan meluas tentera di Arlington berhampiran Washington, Trump berkunjung ke bandaraya ini untuk memberi ucapan sebelum perarakan tahunan kumpulan veteran.

Perarakan Hari Veteran di bandaraya New York semalam. -Foto AFP

Trump dikritik secara meluas selepas mengumumkan pengunduran penuh tentera AS dari Syria bulan lalu, dengan pembangkang dan malah sesetengah sekutunya mengatakan ia membolehkan Daesh bangkit semula serta meninggalkan pejuang Kurdis sekutu negara itu terdedah kepada pencerobohan Turki.

Namun Trump menggunakan ucapan di sini untuk mendakwa bahawa kepimpinan Daesh semakin ketakutan susulan kematian Abu Bakr dalam serbuan di wilayah barat laut Syria di Idlib pada 26 Oktober lalu.

“Hanya beberapa minggu lalu, pasukan khas AS menyerbu kediaman Daesh dan mengheret pemimpin pengganas nombor satu ke muka pengadilan.

“Terima kasih kepada wira Amerika, al-Baghdadi sudah mati, pembantunya juga mati, kami kini mengawasi nombor tiga.

“Penguasaan keganasannya sudah berakhir dan musuh kami kini ketakutan. Mereka yang mengancam rakyat kami tidak berpeluang menentang kekuatan tentera AS,” kata Trump.

Selepas kematian Abu Bakr dan jurucakap utama Daesh, Abu Hassan al-Muhajir, dalam serbuan hari berikutnya, kumpulan militan itu menamakan Abu Ibrahim al-Hashimi al-Quraishi sebagai pemimpin baharunya.

Berikutan kemarahan berhubung pengumuman beliau terhadap pengunduran penuh tentera, Trump berkata, pihaknya akan meninggalkan segelintir askar di rantau itu untuk melindungi telaga minyak berharga di Syria.

Pengerus Ketua Turus Kakitangan Tentera AS, Jeneral Mark Milley dalam wawancara hujung minggu berkata, jumlah askar AS di utara Syria kekal sekitar 500 orang.

Trump menerima sambutan dingin daripada sesetengah penduduk bandaraya yang tegar menyokong Demokrat.

Pada tingkap kaca satu menara pejabat di atas Madison Square Park dari mana beliau berucap, huruf besar dilekatkan pada tingkap berbunyi, di satu tingkat, ‘IMPEACH’ (dakwa) dan beberapa tingkat di atasnya bertulis, ‘CONVICT’ (pesalah).

Kain rentang anti-Trump juga digantung dari tingkap pangsapuri berhadapan ketika beliau memulakan perarakan dan penduduk di jalanan melaungkan ‘sumbat Trump di penjara.’ -AFP

Berita Harian X