Selasa, 12 November 2019 | 6:11pm
Bank Dunia melancarkan satu lagi semakan program akhir Ogos lalu selepas majalah Foreign Policy melaporkan, sebuah sekolah yang mendapat manfaat daripada sebahagian pinjaman AS$50 juta (RM207.12 juta) kepada China membeli ‘pagar kawat duri, pelancar gas dan perisai tubuh.’ -Foto Reuters

Bank Dunia henti biaya sekolah Uighur kontroversi di China

WASHINGTON: Bank Dunia mengumumkan semalam, ia menamatkan satu projek untuk membiayai sekolah vokasional di China susulan dakwaan salah laku terhadap etnik minoriti Islam Uighur.

Bank Dunia melancarkan satu lagi semakan program akhir Ogos lalu selepas majalah Foreign Policy melaporkan, sebuah sekolah yang mendapat manfaat daripada sebahagian pinjaman AS$50 juta (RM207.12 juta) kepada China membeli ‘pagar kawat duri, pelancar gas dan perisai tubuh.’

Bank Dunia

Peminjam pembangunan berpusat di sini berkata, ia melancarkan satu lagi semakan susulan dakwaan itu namun ‘tidak membuktikan dakwaan terbabit.’

“Bagaimanapun, berikutan risiko dikaitkan dengan sekolah rakan kongsi yang berselerak dan sukar dipantau, skop dan pemantauan projek dikurangkan.

“Khususnya, komponen projek yang membabitkan perkongsian sekolah di Xinjiang ditutup,” kata Bank Dunia dalam satu kenyataan.

Layanan China ke atas etnik Muslim Uighur yang tertumpu di rantau barat laut Xinjiang, dipantau rapat.

Kumpulan hak asasi dan pakar berkata, lebih sejuta majoriti etnik minoriti Islam itu disumbat ke dalam kem pendidikan semula di Xinjiang, di mana mereka diseksa dan dipaksa murtad.

China menafikan kewujudan kem itu sebelum mengakui ia mengendalikan apa yang digelar ‘pusat pendidikan vokasional’ yang diperlukan untuk menentang pelampau agama serta meningkatkan peluang pekerjaan.

Bagaimanapun pembiayaan Bank Dunia terhadap lima sekolah dalam projek itu akan diteruskan.

Sementara itu di Beijing, China membalas keputusan Bank Dunia untuk mengurangkan pembiayaan bagi pusat latihan vokasional di rantau bergolak Xinjiang dengan mengatakan, semakan projek itu ‘menjelaskan kebenaran.’

Kementerian Luar China berkata, perubahan kepada program itu dibuat secara rundingan dengan Beijing dan atas alasan praktikal.

“Laporan menunjukkan tiada isu seperti yang digembar-gemburkan media asing dan program itu sejajar dengan dasar Bank Dunia.

“Bank Dunia juga berunding dengan China mengenai perkara ini. Kami bersetuju melaksanakan perubahan praktikal secepat mungkin,” kata jurucakap kementerian Geng Shuang dalam taklimat media hari ini. -AFP/Reuters

Berita Harian X