Rabu, 13 November 2019 | 8:04am
Lokasi kem dan penjara bagi menempatkan tahanan etnik Uighur, yang didedahkan oleh Pergerakan Kebangkitan Kebangsaan Turkistan Timur. Foto Agensi

Aktivis dakwa 500 penjara dibina bagi tahanan etnik Uighur

ARLINGTON: Aktivis Uighur berkata, mereka berjaya mengesan hampir 500 kem dan penjara yang dikendalikan oleh Kerajaan China, bagi menempatkan tahanan dari kumpulan etnik berkenaan.

Justeru, mereka mendakwa jumlah etnik itu yang ditahan oleh pihak berkuasa mungkin melebihi data yang direkodkan sebelum ini, iaitu seramai satu juta orang.

Pergerakan Kebangkitan Kebangsaan Turkistan Timur, yang berpangkalan di Washington itu, turut mendedahkan lokasi 182 disyaki kem tahanan terbabit.

Etnik Uighur yang ditahan di kem berkenaan dipercayai dipaksa meninggalkan budaya amalan mereka.

Berdasarkan imej yang diperoleh dari Google Earth, kumpulan itu berkata, mereka turut menemui 209 dipercayai penjara dan 74 kem tahanan buruh,

Menurut pergerakan yang memperjuangkan kemerdekaan bagi wilayah, yang mempunyai majoriti penduduk Islam di Xinjiang itu, maklumat lanjut mengenai perkara itu akan didedahkan kemudian.

“Sebilangan besar daripada kem dan penjara itu gagal dikenal pasti sebelum ini, jadi jumlah mereka yang ditahan mungkin lebih besar berbanding yang pernah dilaporkan.

“Kami juga yakin ada lebih banyak kem tahanan yang masih belum dikesan,” kata pengarah operasi pergerakan itu, Kyle Olbert pada sidang media di sini.

Sementara itu, seorang penganalisis yang pernah bekerja dengan agensi perisikan Amerika Syarikat, Anders Corr, berkata kira-kira 40 peratus daripada lokasi itu tidak pernah dilaporkan sebelum ini.

Pejuang hak asasi sebelum ini, menganggarkan lebih satu juta etnik Uighur ditahan Kerajaan China, selain umat Islam keturunan Turki. - AFP

Berita Harian X