Rabu, 13 November 2019 | 5:15pm
JEANINE Anez

Wanita rampas jawatan presiden Bolivia

LA PAZ: Ketua senat Bolivia, Jeanine Anez mengambil alih jawatan presiden sementara, hari ini, ketika bekas pemimpin negara itu, Evo Morales berjanji meneruskan perjuangan dari dalam buangan di Mexico, selepas meletak jawatan, susulan satu rampasan kuasa.

Anez, 52, mengambil alih kepimpinan, di depan pembuat dasar di Kongres dengan menggunakan klausa perlembagaan yang menetapkan beliau sebagai pemegang jawatan seterusnya memerintah, selepas Morales dan naib presiden beliau, Alvaro Garcia meletak jawatan, Ahad lalu.

Sesi parlimen yang dijadualkan untuk melantik Anez secara rasmi dipulaukan pembuat dasar parti berhaluan kiri Morales, MAS yang menegaskan pengambilalihan kuasa itu tidak sah.

“Sebelum ketiadaan presiden dan naib presiden, sebagai presiden dewan senator, saya mengambil alih jawatan presiden serta merta mengikut perlembagaan,” kata pembangkang berhaluan kanan Morales, Anez sambil disambut tepukan gemuruh pembuat dasar pembangkang.

Setakat ini, masih belum jelas sama ada tindakan itu akan meredakan kekacauan di ibu negara, La Paz dan beberapa bandar lain oleh penyokong Morales.

Rakaman video, semalam, menunjukkan polis bertembung dengan penyokong Morales di bandar Cochabamba dan ramai penunjuk perasaan bertopeng menggesa pelancaran perang saudara. - Reuters

Berita Harian X