Khamis, 14 November 2019 | 9:22am
Facebook sudah membatalkan 5.4 bilion akaun palsu tahun ini.

Facebook batal 5.4 bilion akaun palsu

SAN FRANCISCO: Facebook sudah membatalkan 5.4 bilion akaun palsu tahun ini, sebagai petanda kesungguhan media sosial itu memerangi manipulasi dan salah maklumat.

“Kami memperbaiki kemampuan untuk mengesan dan menyekat cubaan menghasilkan akaun palsu.

“Kami boleh menganggarkan setiap hari kami menghalang jutaan cubaan menghasilkan akaun palsu menggunakan sistem pengesanan ini,” kata firma itu dalam laporan ketelusan terbarunya.

Facebook percaya, akaun palsu yang menyaksikan seseorang berpura-pura menjadi individu atau entiti yang tidak wujud, mewakili lima peratus daripada pengguna aktif bulanan seluruh dunia pada suku kedua dan ketiga tahun ini.

Rangkaian sosial itu banyak melabur dalam mencari dan membatalkan akaun yang dicipta untuk memperdaya orang ramai mengenai asal maklumat, terutama apabila ia tersebar sebagai sebahagian kempen terancang dengan agenda politik atau sosial.

Laporan terperinci juga menunjukkan desakan kerajaan untuk mendapatkan maklumat pengguna mencecah tahap baru didahului Amerika Syarikat.

Secara keseluruhan, permintaan kerajaan mendapatkan data pengguna Facebook meningkat 16 peratus kepada 128,617 pada separuh pertama tahun ini.

“Daripada keseluruhannya, AS terus memberikan permintaan paling tinggi, diikuti India, United Kingdom, Jerman dan Perancis,” menurut laporan.

Facebook menerima 50,741 permintaan dari AS untuk maklumat mengenai 82,461 akaun, dengan secara kasarnya, dua pertiga darpadanya dilakukan dalam cara menghalang rangkaian sosial memberitahu pengguna mengenai inkuiri itu.

“Kami selalu memeriksa setiap permintaan kerajaan yang diterima untuk mendapatkan data akaun untuk memastikan ia sah dari segi undang-undang,” kata timbalan perunding Facebook, Chris Sonderby, dalam siaran atas talian mengenai perangkaan terbaru itu. — AFP

Berita Harian X