Ahad, 17 November 2019 | 8:58am
FOTO hiasan.

Lelaki berang bunuh tiga anak, isteri

SAN DIEGO : Lima orang, termasuk tiga kanak-kanak maut dalam satu pergaduhan rumah tangga yang membawa kepada tembakan, semalam.

Menurut polis, mereka menerima maklumat berhubung insiden berkenaan yang berlaku di kawasan kejiranan Paradise Hills, selatan San Diego, dan menemui mayat seorang kanak-kanak lelaki berusia 3 tahun bersama bapa dan ibunya di dalam sebuah rumah, awal pagi semalam.

Ketua Polis San Diego, David Nisleit berkata, turut ditemui adalah tiga lagi kanak-kanak lelaki, masing-masing berusia 5, 9 dan 11 yang mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke hospital.

“ Dua daripada mangsa bagaimanapun meninggal dunia ketika sedang dirawat.

“Apabila sekumpulan pegawai tiba di lokasi kejadian, mereka meninjau menerusi tingkap dan melihat seorang anak kecil terbaring dengan berlumuran darah,” katanya.

Leftenan Matt Dobbs dari Jabatan Polis San Diego pula memberitahu, satu-satunya kanak-kanak yang terselamat dalam tragedi itu terpaksa menjalani pembedahan kecemasan susulan kecederaan parah.

“Selepas ibu kesemua mangsa berjaya mendapatkan perintah larangan ke atas suaminya pada Jumaat, pasangan berkenaan terbabit dalam pertengkaran awal pagi semalam.

“Selepas menembak kesemua anggota keluarga, lelaki itu membunuh diri menggunakan pistol yang sama,” kata Dobbs.

Nama dan identiti kesemua mangsa dirahsiakan pihak polis. - Reuters

Berita Harian X