Ahad, 17 November 2019 | 10:18am
PERTEMPURAN antara pasukan keselamatan dan penyokong bekas Presiden Evo Morales di Sacaba. - Foto AFP

Situasi di Bolivia boleh menjadi tidak terkawal - PBB

LA PAZ (BOLIVIA) : Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran, keganasan di Bolivia semalam boleh menjadi tidak terkawal, susulan pertempuran antara pasukan keselamatan dan penanam koka yang masih setia pada Presiden Evo Morales.

Morales meletakkan jawatan berikutan tekanan daripada pasukan polis dan tentera Bolivia, pada Ahad selepas terdapat bukti berlakunya penipuan undi dalam kemenangan beliau pada pilihan raya, 20 Oktober lalu.

Beliau melarikan diri ke Mexico dua hari selepas meletakkan jawatan.

Penanam koka yang juga berhaluan kiri menyifatkan penentang Morales sebagai ‘pengguling kuasa berhaluan kanan’, malah secara terbuka mendakwa berlaku penindasan oleh pasukan keselamatan, di bawah pimpinan pemangku Presiden dan bekas penggubal undang-undang konservatif, Jeanine Anez.

“Pemimpin pengguling kuasa ini membunuh rakyat tidak bersalah yang hanya mahukan demokrasi,” kata Morales menerusi Twitter, susulan laporan berhubung sembilan kematian dalam keganasan semalam.

Anez menyalahkan Morales dan mendakwa lelaki itu mencetuskan keganasan walaupun berada di luar negara.

Beliau berkata, kerajaan pimpinannya berhasrat mengadakan pilihan raya dan bertemu pihak pembangkang bagi mententeramkan suasana.

Pesuruhjaya tinggi PBB untuk Hak Asasi Manusia, Michelle Bachelet memberi amaran, keganasan yang semakin memburuk boleh menjejaskan proses demokrasi.

“Saya khuatir situasi di Bolivia boleh menjadi tidak terkawal jika pihak berkuasa tidak menangani perkara ini dengan baik dan menghormati prinsip hak asasi manusia,” katanya dalam satu kenyataan. -

Berita Harian X