Selasa, 19 November 2019 | 10:10am
Palestin bertegas, pendirian AS menyokong pembinaan penempatan Israel di kawasannya, melanggar undang-undang antarabangsa. -Foto Agensi

AS sokong penempatan haram Israel, pendirian jejas proses damai dengan Palestin

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) semalam menyokong hak Israel untuk membina penempatan peneroka haram di jajahan Tebing Barat dengan tidak mengendahkan pendirian selama empat dekadnya bahawa ia ‘tidak selari dengan undang-undang antarabangsa,’ menjadikan prospek perjanjian damai Israel-Palestin lebih sukar.

Pengumuman oleh Setiausaha Negara Mike Pompeo itu satu kejayaan buat Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu yang bergelut untuk kekal berkuasa selepas dua pilihan raya yang tidak memihaknya namun sebaliknya dianggap kekalahan buat penduduk Palestin.


Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo

Jelasnya, ia adalah satu tamparan terhadap usaha Trump menyelesaikan konflik Israel-Palestin menerusi pelan damai yang sudah diusahakan selama lebih dua tahun namun menimbulkan keraguan meluas sebelum ia didedahkan.

Pompeo berkata, kenyataan AS mengenai penempatan di Tebing Barat yang ditawan Israel pada 1967 tidak konsisten, mengatakan Presiden Demokrat Jimmy Carter mendapati, ia tidak selari dengan undang-undang antarabangsa dan Presiden Republikan Ronald Reagan mengatakan beliau tidak menganggapnya satu kesalahan.

“Pembinaan penempatan awam Israel tidak dianggap tidak konsisten dengan undang-undang antarabangsa,” kata Pompeo kepada media, mengubah kedudukan rasmi diambil AS di bawah pentadbiran Carter pada 1978.

Pengumumannya menarik pujian daripada Netanyahu yang mengatakan, ‘perbetulkan kesilapan sejarah,’ sekali gus menarik kecaman daripada perunding Palestin, Saeb Erekat yang mengatakan Washington mengancam ‘untuk menggantikan undang-undang antarabangsa’ dengan ‘undang-undang hutan.’

Palestin bertegas, pendirian AS melanggar undang-undang antarabangsa. Masyarakat antarabangsa berpendapat, pemindahan mana-mana orang awam sesebuah negara untuk menduduki penempatan tidak sah mengikut Konvesyen Geneva Keempat 1949 dan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

“AS tidak layak untuk meluluskan atau memberi hak kelulusan membina apa juga penempatan Israel,” kata jurucakap Presiden Palestin Mahmoud Abbas, Nabil Abu Rudeineh.

AS berkata, pendiriannya mungkin mencetuskan keganasan, memberi amaran kepada rakyatnya di rantau itu supaya sentiasa berhati-hati kerana mereka yang menentang tindakan itu ‘mungkin menyasar’ kemudahan kerajaan, kepentingan persendirian dan rakyatnya.

Menteri Luar Jordan, Ayman Safadi berkata, perubahan dasar itu memberi ‘kesan berbahaya’ terhadap prospek menghidupkan semula rundingan damai dan menyifatkan pembinaan penempatan itu sebagai ‘pelanggaran terang-terangan undang-undang antarabangsa.’

Pompeo berkata, tindakan itu bukan bermaksud menghukum status Tebing Barat, yang menjadi harapan Palestin sebagai sebuah negara akan datangnya hasil penyelesaian meluas konflik itu.

“Ini adalah bagi Israel dan Palestin untuk merundingnya,” katanya mengatakan keputusan AS bukan bermaksud ‘memaksa satu keputusan atau mencetuskan sebarang halangan terhadap resolusi yang dirundingkan.’

Penganalisis mengkritik tindakan itu mengatakan, ia menjadikan situasi semakin sukar untuk menyelesaikan konflik lebih 70 tahun terbabit.

“Beliau boleh mengisytiharkan malam sebagai siang, namun ia tidak menukar hakikat bahawa penempatan haram Israel bukan hanya tidak sah di sisi undang-undang antarabangsa, namun juga menjadi halangan terbesar kepada perdamaian dan kestabilan rantau ini,” kata Hagit Ofran daripada kumpulan anti-penempatan Peace Now. -Reuters

Berita Harian X