Jumaat, 29 November 2019 | 12:44pm
Vancouver meluluskan pengharaman penggunaan straw dan beg plastik bermula April tahun depan. - Foto CBC
Vancouver meluluskan pengharaman penggunaan straw dan beg plastik bermula April tahun depan. - Foto CBC

Vancouver larang guna straw dan beg plastik mulai April 2020

VANCOUVER : Vancouver meluluskan pengharaman penggunaan straw dan beg plastik bermula April tahun depan, menjadikan ia bandar utama pertama di Kanada yang melaksanakan peraturan itu.

Langkah berkenaan, disasarkan untuk mengurangkan penggunaan beg plastik dan plastik pakai buang, kini semakin meluas diamalkan negara lain, khususnya yang mahu mengurangkan kadar pencemaran plastik di kawasan mereka.

Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau pada Jun lalu mengumumkan rancangan untuk mengharamkan penggunaan plastik pakai buang seperti straw, beg dan peralatan makan.

Montreal sebelum ini sudah melaksanakan pengharaman ke atas beberapa jenis beg plastik pada 2018.

Menurut Vancouver, beg dan straw plastik masing-masing menyumbang sebanyak 3 peratus kepada jumlah sampah di pantai mereka setiap tahun.

Menurut satu kajian kerajaan awal tahun ini, hampir 90 peratus produk plastik di Kanada berakhir sebagai sampah yang mencemarkan alam sekitar.

Straw plastik akan diharamkan mulai 22 April 2020 manakala beg plastik, termasuk yang diperbuat daripada bahan mudah urai akan diharamkan mulai 1 Januari 2020.

Serentak dengan itu, semua premis perniagaan perlu menyediakan straw dari jenis bahan yang diluluskan atas permintaan pelanggan sekiranya diperlukan.

Awal tahun ini, rangkaian pasar raya Sobeys Inc yang dimiliki oleh Empire Co berkata, penggunaan beg plastik akan ditarik semula dalam tempoh enam bulan, menjadikan pasar raya pertama di Kanada mengakhiri penggunaan beg plastik. - Reuters

Berita Harian X