Sabtu, 30 November 2019 | 9:01am
Gambar fail, bintang Hollywood, Leonardo DiCaprio menghadiri tayangan perdana "Once Upon a Time In Hollywood" di Los Angeles, California, Amerika Syarikat pada Julai lalu. - Foto REUTERS
Gambar fail, bintang Hollywood, Leonardo DiCaprio menghadiri tayangan perdana "Once Upon a Time In Hollywood" di Los Angeles, California, Amerika Syarikat pada Julai lalu. - Foto REUTERS

Bolsonaro tuduh Leonardo DiCaprio biayai pembakaran hutan Amazon

SAO PAULO : Presiden Brazil, Jair Bolsonaro mendakwa bintang Hollywood, Leonardo DiCaprio terbabit membiayai pembakaran hutan hujan Amazon, walaupun tidak memberikan sebarang bukti.

Bolsonaro dilihat memuat naik komen dalam satu hantaran di Facebook yang mendakwa, pertubuhan alam sekitar Dana Hidupan Liar Dunia (WWF) membayar untuk mendapatkan imej dirakam sukarelawan bomba, dan menggunakan ia bagi meraih sumbangan, termasuk AS$500,000 (RM2.08 juta) daripada DiCaprio.

WWF bagaimanapun menafikan ada menerima sumbangan berkenaan atau memperoleh imej daripada sukarelawan bomba.

“Leonardo DiCaprio ini sangat hebat kan? Beri duit untuk membakar Amazon,” kata Bolsonaro dalam satu ucapan ringkas di hadapan istana presiden.

Wakil DiCaprio tidak memberikan sebarang komen ketika diminta mengulas kenyataan dibuat Bolsonaro itu.

DiCaprio sebelum ini adalah seorang pembela yang lantang bersuara dalam memperjuangkan isu alam sekitar mencakupi perubahan iklim dan sering memberikan kenyataan di Twitter, termasuk mengenai kebakaran hutan hujan Amazon.

Yayasan Leonardo DiCaprio miliknya yang memberi tumpuan kepada projek melindungi hidupan liar daripada pupus adalah sebahagian daripada Earth Alliance.

Empat anggota pertubuhan bukan kerajaan, Briged Alter do Chão Fire ditahan Selasa lalu kerana dituduh sengaja menyebabkan kebakaran bagi membolehkan imej kejadian dirakam dan digunakan untuk mengutip derma.

Mereka bagaimanapun dibebaskan Khamis lalu atas arahan mahkamah. - Reuters

Berita Harian X