Ahad, 1 Disember 2019 | 8:47am
Gambar fail, pegawai polis melakukan operasi membenteras suspek kartel, El Aguaje yang menembak mati polis di Wilayah Michoacan, Mexico pada Oktober lalu. - Foto REUTERS

5 anggota kartel ditembak mati pasukan keselamatan Mexico

MEXICO CITY: Pasukan keselamatan Mexico membunuh sekurang-kurangnya lima disyaki penyerang kartel dadah dalam kejadian tembak menembak semalam di bandar berhampiran sempadan Amerika Syarikat, kata pihak berkuasa negeri Coahuila.

Pejabat Peguam Negara Coahuila berkata dalam kenyataan, pegawai keselamatan menembak mati lima suspek ketika pertempuran di pekan kecil Villa Union, kira-kira 65 kilometer ke barat daya negeri Piedras Negras.

Sekitar tengah hari, bunyi tembakan senjata berat kedengaran, dan konvoi trak pikap bersenjata dilihat bergerak sekitar Villa Union, menurut klip video yang disiarkan pengguna media sosial.

Sementara video lain menunjukkan asap yang menjulang dari pekan itu.

Mereka turut menyiarkan gambar kenderaan terbakar dan pejabat Datuk Bandar Villa Union yang ditembusi peluru.

Penularan keganasan berlaku ketika minggu ujian kepada kerajaan pimpinan Presiden Andres Manuel Lopez Obrador, yang menegaskan tidak akan menerima sebarang campur tangan asing di Mexico untuk berhadapan keganasan kumpulan penjenayah.

Lopez Obrador berkata, Mexico akan mengendalikan masalah itu.

Awal minggu ini, Presiden Donald Trump berkata, beliau bercadang menamakan kartel Mexico sebagai kumpulan pengganas, mencetuskan kebimbangan ia akan menjadi permulaan kepada AS untuk campur tangan secara sehala di Mexico. — Reuters

Berita Harian X